Blog JIM Titiwangsa

PACE : Ulang Tahun Perang Oktober 1973 – beberapa pengajaran

Posted in PACE, Palestin by Jim Titiwangsa on August 23, 2010

BULAN ini genaplah ulang tahun Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober 1973) yang ke 38. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini mempunyai implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur tengah seperti hari ini.

Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan. Perang 6 hari juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Makdis timur dan Tebing Barat di kuasai oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang dari Hari kebesaran orang Yahudi iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian besar tentera Israel sedang bercuti, Mesir telah mengatur serangan mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk menembusi garisan Barlev yang dianggap kebal oleh pertahanan Israel benar-benar menjadi kejutan. Di masa yang sama tentera Syria megambil semula sebahagian dari Tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera Mesir dan Syria tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran serangan balas oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir terkepung sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000 mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Israel menerima hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar, sedangkan konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya hanyalah sebuah pertempuran. Di samping itu hampir 500 kereta kebal dan 200 pesawat udara tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir dan Syria. Mesir dan Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar, namun kejayaan pada peringkat awal peperangan memberi satu suntikan kepada seluruh dunia Arab dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan dengan regim Zionis di medan peperangan.

Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya di dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan senjata di antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana Amerika telah terbukti sepanjang konflik timur tengah tidak akan memihak kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika dianggap tidak memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang Oktober 1973, AS mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini ada berdasarkan kepada congakan bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan dan terpaksa membuat beberapa konsesi yang menjejas kelangsungan negara zionis tersebut. Gencatan senjata ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara sehingga ke Terusan Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang sehari selepas Resolusi 338 diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk menguatkuasakan Resolusi 338. Motif sebenar Amerika terbongkar apabila pada 18 Oktober Presiden Nixon meluluskan peruntukan senjata tambahan kepada Israel disamping bantuan kewangan sebanyak USD 2.2 bilion. Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi melakukan reaksi balas dengan mengurangkan pengeluaran petroluem sebanyak 5% sebulan kepada AS. Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland dan negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh bahawa negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar untuk mencabar hegemoni politik AS di timur tengah.

Di masa yang sama AS telah menggunakan sitiasi perang Oktober untuk menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir ialah untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh Israel, AS telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju untuk berdamai dengan Israel. Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang ke Baitul Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke Baitul Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah mengambil peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut di dalam ucapannya Mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Makdis, ibu negara Israel ’yang abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah sesuatu yang mencalar maruah dunia Islam seluruhnya. Hasil dari rundingan diplomatik di antara Mesir dan Israel yang di’broker’ oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp David pada tahun 1978. Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari persamaan (equation) yang menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah khususnya yang berkaitan dengan pembebasan Bumi Palestin. Sehingga hari ini Mesir adalah terikat dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan Israel. Tindakan Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan menghalang rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah sebahagian dari memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.

6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang Oktober, Presiden Sadat mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.

 

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE (Palestine Centre of Excellence)

Persinggahan terakhir seorang sahabat

Posted in Berita Ahli by Jim Titiwangsa on August 23, 2010

arwahanas

HULU KELANG – Tanggal 19 Ogos 2010 kira-kira jam 9 pagi, seorang ahli JIM, Muhammad Anas Ahmad Zabidi,  45, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Ampang. Allahyarham yang kali terakhir bertugas sebagai Pengarah MIDA (Malaysian Industrial Development Authority) Kedah/Perlis menghidap barah tulang sejak dua tahun lepas.

arwahanasJenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di surau Darul Saadah, Taman Keramat Permai AU1C berhampiran rumahnya. Kira-kira 120 orang menyertai solat jenazah yang dilakukan sebaik sahaja selesai solat Zuhur. Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa dengan van jenazah ke Tanah Perkuburan Taman Keramat untuk disemadikan.

Antara yang hadir sepanjang proses pengurusan jenazah selain ahli keluarga adalah ADUN Hulu Kelang, YB Haji Saari Sungib dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan sepupu Allahyarham. Sahabat-sahabat dari JIM dan IKRAM yang kelihatan termasuklah Ustaz Alias Othman, Haji Syed Ibrahim Syed Noh, Haji Shaharom Md Shariff, Ustaz Shamsul Maarif Ismail, Haji Zairulshahfuddin Zainal Abidin dan Haji Ahmad Raji Yaakub. Turut kelihatan ialah Fellow di Institut Kefaaman Islam Malaysia (IKIM), Ustaz Abu Bakar Yang.

Allahyarham Anas meninggalkan empat orang anak – yang sulung masih di sekolah menengah sementara yang bongsu di tadika. Isteri Allahyarham, Puan Najwa adalah seorang guru.

Semoga Allah mengampuni semua dosa Allahyarham, merahmati rohnya serta menempatkannya bersama hamba- hamba-Nya yang soleh.

arwahanas arwahanas
 arwahanas  arwahanas
 arwahanas  arwahanas
 arwahanas  arwahanas

Bingkisan Ramadhan – YDP JIM KL

Posted in Ramadhan by Jim Titiwangsa on August 11, 2010

Salam

Ramadhan tiba lagi

Semacam kembali bernafas

Kan kita selalu jadikan ramadhan titik untuk bertemu lagi atau tidak

Usah lepaskan peluang lagi kali ini

Pastikan ar rayyan pintu jannah untuk bisa dimasuki

 

Ghairah makin dirasa

…malah fans fb pun dah ungkap kata-kata mulus

Ramadhan Mubarak, ramadhan kareemm…pohon maaf

Profile picture pun sudah berlitup

AlhamdulilLah terserlah barakah mu ya ramadhan

Masjid sudah terang berseri

Mic pun dah adjust helo, helo cobaan

Tirai dah diganti ..putih dan bersih

Menunggu jamaah rahmatMu draih

Mengalun Qurani, takbir, tahmid dan tasbih

Barang diingat ini juga bulan mengikat

..mentaut mahabbah dan ukhuwah

Ummi wa abi nun di kejauhan sana

Ziarah dan titipkan doa power berganda

Ya.. ’aailah kita wa auladati juga

Usah lupa juga ramadhan bulan syiar dan dakwah

Remaja mudah lunak, belia bisa akur kehebatan ramadhan

Kitalah yang kena menghulur tangan

Agenda kita pun dah ada…tinggal lagi nak kesana

Sambil kerjasama agensi sesama kita

Ramadhan yang mulia ini pun banyak godaannya

Hok dulu pun dah azam dan tekad jugak

Hmm…masih ada yang takdan jugak

Sebab itu kena istiqamah walaupun mudah-mudah

Doa berterusan agar dipimpin Allah

Kita ini memang selalu berbuat salah

Kekadang alpa dan menyusah-nyusah

Minta maaf le kalau ada yang resah

Biar kita semua beroleh maghfirah

…ya Allah hanya kepadaMu kami berserah

 

Hasni

Mohon maaf bagi pihak warga jkuasa jimkl, bai dan bazlee

Ditahan sempena 50 tahun akta zalim ISA…

Posted in Berita Ahli, ISA by Jim Titiwangsa on August 3, 2010
Salam,
 
Alhamdulillah ana telah dibebaskan sekitar jam 3 pagi. Bebas dengan ikat jamin polis dan perlu hadir Mahkamah Majistret PJ pada 16 Ogos 2010. Semua seramai 29 orang (21 lelaki dan 8 wanita) telah selesai dibebaskan sekitar jam 4.45 pagi. Di Pulau Pinang, seramai 4 orang yang ditahan telah dibebaskan lebih awal. Begitu juga dengan 2 orang yang ditahan di Kota Bharu.
 
Jzkk wa jazak dengan sms dan do’a yang sempat memasuki telefon ana semalaman. Maaf kalau yang ada yang tak terlayan. Ingatkan nak jimat bateri sekiranya ditahan sehingga keesokan hari tapi Alhamdulillah bateri tahan sehingga dibebaskan walaupun tinggal 3 bar dan banyak buat panggilan serta sms. Jzkk pada ramai yang setia menunggu di luar pagar IPD PJ sehingga hampir jam 5 pagi. Antaranya, Hj Nahar, Akh Zainal, Akh Kamal, Akh Aidil dan isteri Dr Melasutra. Sebelum itu ramai yang turun memberikan sokongan, dengarnya Prof Dr Sahrim, Zahir, Bad & Nashita, Cikgu Norlaila dan lain-lain. YB-YB pun ramai…YB Sivarasa, Elizabeth Wong, Hee Looi Siang dan Ronnie Liu. Peguam-peguam pun ramai…berpuluh orang. Yang lebih menarik, Sdr James Nayagam, Pesuruhjaya SUHAKAM turut bersama memerhatikan di dalam tahanan daripada awal hingga semua dibebaskan.
 
Ditahan beramai begini tidak terasa tensionnya walaupun inilah kali pertama ana ditahan! Allahu Akbar! Sedikit sangat ujiannya berbanding dengan sahabat dan mereka yang pernah ditahan sebelum ini. Apatah lagi dibandingkan dengan dugaan dan cubaan yang ditempuhi Ar-Rasul SAW dan para sahabat.
 
Walaupun begitu, pengalaman ini tidak akan ana dapat dilupakan selama-lamanya. Barangkali Allah telah mentakdir ana ditahan pada masa yang paling sesuai supaya dapat dirakamkan dalam sejarah iaitu pada 1 Ogos 2010 sempena 50 tahun akta zalim ISA.
 
Ramai juga yang 1st timers kena tahan termasuk seorang di bawah umur 17 tahun, dua orang pelajar KUIS dan seorang pelajar UiTM. Tapi ramai juga yang dah seasoned dengan tahanan termasuk Sdr Arul (PSM), Cikgu Bard (PKR) dan geng PSM. Jadi mereka banyak memberikan panduan dan menceriakan suasana Alhamdulillah.  Tapi dalam pada itu, ada juga sorang dua yang nampak gugup dan risau kalau-kalau tak dibebaskan dan terpaksa masuk lokap. Bila mereka dengar Aru cakap dan dapat tahu Pengerusi GMI pun kena tahan, kurang sedikit stress mereka… Malah ada yang bergurau mengatakan Polis akan tahan ‘the big guns’ seperti Arul, Cikgu Bard dan ana dan akan melepaskan semua yang lain!
 
Ana sendiri dalam senyum terfikir juga mungkin ada kebenaran gurauan itu kerana ada beberapa kali semasa kami duduk bersama-sama di atas pentas batu di IPD PJ, kelihatan beberapa orang SB dan polis yang menahan kami menunjuk-nunjuk kepada ana. Ana berpura-pura tak nampak tapi sedar. Cuma jika itu yang ditakdirkan, ana redha dan bertanggungjawab sepenuhnya. Semasa dalam lori ‘black maria’ yang dipandu laju giler untuk membawa kami dari Amcorp Mall ke IPD PJ, ana telah sempat mengingatkan teman-teman Cina dan adik pelajar UiTM supaya bertenang dan jangan rasa kecewa atau menyesal. Ada hikmah di sebalik segala-galanya. InsyaAllah ramai yang akan membantu jika kita teguh dan yakin dengan pertolongan Allah.
 
Sebenarnya masih mamai lagi nih…kat ofis, baru selesai mempengerusikan mesyuarat. Mereka yang kat ofis yang tak tahu menahu kisah semalam bertanya, “kenapa Tn Syed nampak mengantuk dan pening2?”. Ana jawab sebab semalam tak tidur…lelap pun sekejap sebelum subuh dan selepas subuh. Mereka tanya lagi, “sebab rukun tetangga ke?”. Pendek cerita, ana suruh depa layari laman berita alternatif.
 
Jzkk sekali lagi dengan do’a dan sokongan. Lain kali kita sama-sama kena tahanlah…bukan suka-suka kena tahan tetapi ditahan kerana menegakkan keadilan dan kebenaran. Tindakan agresif polis sangat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional. Sudah pasti banyak kecaman akan keluar dengan tindakan mereka.
 
Ada lagi yang belum diceritakan seperti gelagat OCPD PJ, pemandu black maria, proses polis yang lambat dan lain-lain lagi. InsyaAllah di lain kesempatan.
 
Semoga Allah meneguhkan kita di atas jalan perjuangan.
 
Syed Ibrahim Alhabshi

TAJAAN KURMA KHUDRI KE VIETNAM

Posted in Hebahan, Pengumuman by Jim Titiwangsa on August 2, 2010

Objektif

  • Ramadhan 1431H.Mendapatkan dana untuk tajaan kurma kepada penduduk Islam di Vietnam sempena Ramadhan 1431H. Ini adalah tahun ke-3 JIM berkerjasama dengan Madrasah Jamaiah Islamiah Al Anwar (Islamic Community of Ho Chi Minh City) dan Malaysian Community in Ho Chi Minh City. Terima kasih kepada penaja-penaja yang lalu.

Latar Belakang

  • JKPA dimaklumkan bahawa umat Islam di Vietnam tidak berpeluang atau amat sukar menikmati kurma semasa iftar. Terdapat kira-kira 80,000 orang Islam di Vietnam.
  • JIM dengan usahasama bersama Petronita (Petronas Vietnam) telah menaja 800kg dan 300kg kurma khudri untuk tahun 1429H dan 1430H.
  • Alhamdulillah, kurma tersebut telah berjaya diagihkan di 67 buah masjid dan surau disekitar HCM City, Tay Ninh Province, Ninh Thuan Province, Binh Duong Province, Binh Phuoc Province, My Tho Province, Tra Vinh Province, Dong Nai Province dan Chau Doc ( An Giang Province ).

Tawaran Kami

  • JKPA mempelawa semua ahli, sahabat dan kenalan JIM, JIM Daerah, JIM Negeri serta ahli masyarakat Malaysia umumnya untuk menaja kurma untuk umat Islam di Vietnam.
  • Anda hanya perlu mengusahakan penajaan kewangan dan penyeliaan seterusnya diuruskan oleh JIM.
  • Tajaan adalah RM 21.00 untuk satu (1) kg.
  • Tajaan dibuka sehingga Isnin, 9 Ogos 2010.

Sasaran

  • 500 kg

Penyertaan

  • Sila sms atau emel nama, no hp dan jumlah tajaan kepada Md. Nasir B Tampol di 014-311.0628 atau mnt1964@yahoo. com.

Ganjaran Pahala

  • “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, 

     

    maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari api neraka dan mendapatkan pahala 

    seperti orang-orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun” 

    (Hadith Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Ayuh kita sambut tawaran Allah yang amat lumayan ini. Mohon disebar luaskan penajaan ini kepada yang lain. Terima kasih.

 
ben tampol
014.311.0628

Semua dibebaskan termasuk wartawan Harakah

Posted in Berita Ahli, Berita Terkini, ISA by Jim Titiwangsa on August 2, 2010
Harakahdaily   
PETALING JAYA, 2 Ogos: Semua 29 orang yang ditahan kerana menyertai upacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Mereka termasuk Pengerusi Gerakan Membantah ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh yang sebelum itu dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya.

Bagi Syed Ibrahim, itulah pertama kali beliau ditahan sejak GMI mengadakan bantahan terhadap akta yang zalim itu.

Di KOTA BHARU, wartawan Harakah dan Harakahdaily, Salmah Mat Husain dan Rizal Tahir bersama seorang anak mereka berusia 15 tahun serta dua lagi ditahan polis ketika bertugas pada perhimpunan membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke-IV, di sini malam tadi.

Mereka dibebaskan kira-kira jam 2.00 pagi tadi selepas dijamin oleh Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim dan peguam.

Mereka diminta datang ke ibu pejabat kontinjen polis di sini, tengah hari ini.

Polis bertindak keras menghalang perhimpunan yang dimulakan selepas Isyak itu.

Pasukan keselamatan itu memberi amaran akan menangkap sesiapa sahaja yang pergi ke himpunan itu.

Walaupun dalan keadaan hujan, ramai juga yang datang ke perhimpunan tersebut.

“Ditahan kerana menghadiri program dan ada bahan bercetak tentang ISA itulah dalam bag Kak Ma,” ujar Salmah ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Bagaimana pun, beliau sekeluarga tidak mengenali dua peribadi lain yang turut ditahan bersama-sama mereka.

Difahamkan, mereka ditahan polis ekoran mereka dianggap menyertai perhimpunan tanpa permit walaupun perhimpunan anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung secara aman.

Yang meragukan, katanya lagi, polis turut menahan anak mereka yang nyata berada di dalam kereta, walaupun anaknya itu tidak menyertai perhimpunan tersebut.

“Dah tahu perhimpunan itu tak ada permit, 9.15 malam memang nak turun keluar dah, tetapi dalam perjalanan nak keluar, dalam lima hingga enam orang anggota polis, antaranya berseragam dan berpangkat pegawai pergi ke kereta dan masa itu anak Kak Ma ada dalam kereta itu.

“Anak memang duduk dalam kereta pun, dia tak turun,”  beliau menambah.

Ujarnya lagi, mereka yang terbabit kemudiannya dibebaskan sekitar jam 2 pagi hingga 2.50 pagi dengan jaminan polis.

“Kami dibebaskan dengan jaminan polis, tapi urusan dengan polis dilakukan oleh YB Mohd Zaki Ibrahim, Timbalan Speaker (Dun Kelantan) dan seorang peguam bersama empat anak buahnya,” ujarnya.

Upacara anti-ISA dihalang polis, 36 ditangkap

Posted in Berita Terkini, ISA by Jim Titiwangsa on August 2, 2010

Malaysiakini

Ogos 1, 10 8:45pm

Polis telah bertindak menyurai serta menghalang para aktivis daripada mengadakan upacara memasang lilin di lapan tempat di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berusia 50 tahun.

 

 

 

Menurut laporan yang diperolehi, beberapa anggota polis diletakkan di beberapa tempat bagi menghalang upacara memasang lilin itu diadakan.

Di Dataran MBPJ, Padang Timur di Petaling Jaya – di mana upacara memasang lilin bermulajam 8 malam – anggota polis bertindak menyuraikan kira-kira 300 yang hadir sambil menyanyikan lagu Negaraku.

Anggota polis kelihatan mengejar beberapa peserta upacara tersebut dari kawasan Dataran, di tengah-tengah laungan “Hidup, hidup! Hidup rakyat!” manakala anggota polis yang lain, membentuk barisan bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan dataran tersebut

 

 

Seramai 30 aktivis termasuk lapan wanita ditahan polis kerana menyertai satu perhimpunan haram anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Perhimpunan ini yang dipanggil upacara nyalaan lilin diadakan sebagai simbolik bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disertai kira-kira 100 orang.

Antara yang ditahan dalam perhimpunan secara aman ini adalah Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Majlis Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin, setiausaha GMI Nalini Elomalai dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

 

 

Mereka yang lain ditahan dikenali sebagai Suresh Kumar, 34, Mohd Fiqtriey, 25, Naqiuddin Sahar, 23, Albert Ang Yik Chuan, 24, Yew Hun Ng, 24, Y Kohita, K Bawani, E Parames, MSivaranjani dan Lee Wei Ni.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed memberitahu pemberita bahawa polis terpaksa bertindak menahan individu terbabit selepas mereka enggan mematuhi arahan supaya bersurai selepas perhimpunan bermula seawal jam 7 malam.

Beliau berkata pada mulanya semua aktivis berkumpul di tempat letak kereta pusat membeli belah terbabit sebelum berarak beramai-ramai menuju ke Dataran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

 

 

Katanya, mereka kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk disoal siasat.

Di Ipoh, anggota polis bertindak menutup Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan melarang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Di Pulau Pinang pula, anggota polis sebelum ini telah menampak notis – yang ditandatangani oleh OCPD George Town, Penolong Pesuruhjaya Gan Kong Meng – di sekitar Sudut Pidato di Georgetown, melarang sebarang perhimpunan haram diadakan di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya lima orang terus ditangkap temasuk pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin.

 

 

Selain Ibrahim, Arutchelvan dan Badrul Hisham, turut ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya termasuklah Suresh Kumar, Mohd Fiqtriey, Naqiuddin Sahar, Albert Ang Yik Chuan, Yew Hun Ng, Ng Yap Hwa, Tsuing Han See, Enalini Elumalai, Mien Lor, Thilaga Sokiapillay, Kohila Y, Bawani K, Parames E, Sivaranjani, Lee Wei Ni, E Sarawanen, Xavier Sim Yoon Han dan Aiman Siew Teck Meng.

Siti Kasim (kanan) dari Majlis Peguam berkata ini adalah kali pertama beliau melihat polis bertindak ganas, sehingga bertindak menangkap orang ramai walaupun mereka masuk ke sebuah pusat membelibelah Amcorp berhampiran.

 

 

Pengarah Suaram, Kua Kia Soong turut mengecam kekerasan polis dalam kejadian tersebut.

Pada sekitar jam 9:15 malam, polis menghentikan tindakan menyurai dan menangkap.

Dalam sidang akhbar sejurus selepas itu, ketua polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed berkata pihak penganjur tidak mendapat permit polis dalam mengadakan perhimpunan malam ini.

“Tidak ada permit polis yang dipohon,” katanya.

Beliau juga berkata pihak penganjur mendakwa telah mendapat permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

 

 

Tetapi MBPJ bukan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit tersebut,” katanya sambil menambah MBPJ seharusnya tahu perkara itu.

Beliau juga mempertahankan tindakan polis kerana peserta perhimpunan itu enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai.

“Kita telah meminta mereka bersurai, tetapi mereka enggan dan masuk ke dalam Amcorp Mall,” katanya.

Arjunaidi berkata apabila keluar, mereka mengkritik dan mencabar polis yang kemudiannya menangkap mereka.

 

 

Menurutnya, seramai 25 orang dewsa – enam wanita dan 19 lelaki – ditahan kerana menyertai perhimpunan haram.

Katanya, walaupun terdapat kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut, tetapi tidak ada yang ditahan.

Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kemudiannya berkata polis menangkap 30 orang di Petaling Jaya – 22 lelaki dan lapan wanita.

Di Pulau Pinang, empat orang ditangkap termasuk Choo Choon Kai dan Kris Khaira dari PSM.

Seorang lagi – Darshan Singh – ditangkap kemudiannya. Manakala yang keempat ditangkap ialah Ong Jing Cheng dari Suaram.

 

 

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan sejurus selepas tengah malam selepas polis mengambil kenyataan mereka.

Lau Shu Shi dari Suaram juga ditahan selepas diserahkan waran tangkap, tetapi ia dikatakan berkaitan kes lain sebelum ini.

Di Kelantan, polis menangkap penyelaras upacara memasang lilin – Zaidi Musa dan Hamidi Musa – ditahan selepas ianya selesai diadakan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Suaram mengecam tindakan polis yang menurutnya terus menerus menyerang kebebasan bersuara, hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

Malam Mansuhkan ISA:36 orang ditangkap dalam 1 Malaysia

Posted in ISA by Jim Titiwangsa on August 2, 2010

Wong Shu Qi, Nazar Hashim | Aug 01, 2010 08:51:28 pm

 Malam Mansuhkan ISA, perhimpunan sempena ulang tahun ke-50 Akta Keselamatan Dalam Negeri digubal, berdepan dengan penangkapan oleh pihak polis.  Kira-kira 200 orang tenaga polis dikerah untuk berdepan dengan 300 hingga 400 orang peserta, dalam perhimpunan yang bertempat di Padang Timur, Dataran MBPJ Selangor.

Menurut maklumat terkini, seramai 30 orang ditangkap di Selangor, 4 orang di Pulau Pinang, dan tiada penangkapan di Ipoh, Perak dan Kuching, Sarawak.  Polis menahan 2 orang penyelaras di Kelantan, iaitu Zaidi Musa dan Hamidi Musa selepas perhimpunan disuraikan.

SUARAM telah mengenalpasti nama 21 orang yang ditangkap di Selangor, termasuklah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim, Suresh Kumar, Mohd Fiqtriey, Naqiuddin Sahar, Albert Ang Yik Chuan, Yew Hun Ng, Bahrulhisham, Enalini Elumalai, Arulchevan, Mien Lor, Thilaga Sokiapillay, Tsuing Han See, Kohila Y., Bawani K., Parames E., Sivaranjani, Lee Wei Ni, Ng Yap Hwa, E. Sarawanen, Xavier Sim Yoon Han dan Aiman Siew Teck Meng.

Seorang polis berpangkat rendah memaklumkan kepada wartawan MerdekaReview, tugas mereka hari ini adalah menyuraikan semua peserta, dan menangkap mereka yang memegang lilin.

Petaling Jaya, Selangor

9:30 pm Truk penyembur meriam air tiba untuk berdepan dengan ratusan peserta yang berada di luar Balai Polis Petaling Jaya.  Peserta melaungkan slogan “Hidup Rakyat”.  FRU telah berbaris dan peserta melarikan diri ke tempat meletak kereta yang berhampiran.  Empat orang lagi ditangkap.

8:50 pm Polis menyerbu ke dalam Amcorp Mall.

8:45pm Peserta yang berhimpun di dalam Amcorp Mall melaungkan slogan “Hidup Rakyat!”, diketuai oleh Arutchelvan, yang melangkah menuju ke Centre Court.  Polis menangkap lapan orang lagi, termasuk Arutchelvan.  Bilangan tangkapan mencecah ke 20 orang setakat ini.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Latheefa Koya berkata, penggunaan padang MBPJ hanya memerlukan permit daripada MBPJ.  Arutchelvan telah menunjukkan permit tersebut kepada polis sebermulanya perhimpunan, tetapi tidak dipedulikan polis.

8:40 pm Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur., Fadiah Nadwa Fikri berkata, seramai 12 orang ditangkap, tetapi hanya mempunyai butiran lapan orang, termasuk Presiden Gerakan Mansuhkan ISA Syed Ibrahim Syed Noh dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin.

8:15pm Polis menghampiri tempat letak kereta, dan peserta berundur ke dalam Amcorp Mall.  Polis tanpa uniform menyerbu ke dalam Amcorp Mall dan Badrul Hisham Shaharin ditangkap.

Antara 300 hingga 400 orang yang hadir untuk perhimpunan ini, sementara polis pula mengerah kira-kira 200 orang tenaga.

8pm Peserta yang berhimpun di tempat letak kereta Amcorp Mall bersedia untuk berarak ke padang MBPJ, tetapi OCPD Petaling Jaya, Arjunaidi Mohamed mengisytiharkan bahawa perhimpunan ini adalah haram dan memberi arahan untuk bersurai.

Sementara Setiausaha Agung PSM S.Arulchelvan berunding dengan polis, peserta menyanyikan lagu kebangsaan, tetapi tidak dipedulikan oleh polis.

Pulau Pinang

Sementara di Pulau Pinang pula, penangkapan juga berlaku sebelum perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam.  Antara yang ditangkap termasuklah Darshan Singh, Kris Khaira, Choo Chon Kai dan Ong Jing Cheng, koordinator SUARAM.  Kira-kira 200 orang tenaga polis dikerah untuk menyuraikan perhimpunan, yang bertempat di Dataran Pidato, Esplanade Padang Kota Lama.

Ipoh, Perak

Ahli Jawatankuasa GMI di Perak, Chang Lih Kang yang juga ADUN Teja-PKR, memaklumkan kepada MerdekaReview bahawa perhimpunan di Ipoh berjalan dengan lancar, hasil daripada kebijaksanaan penganjur mengatur strategi.

Mereka mengambil keputusan untuk mengalih pandangan polis apabila mendapati lokasi asal perhimpunan, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh telah ditutup oleh polis pada jam 7 petang.  Maka, pengantur menghantar beberapa orang wakil untuk berunding dengan OCPD Ipoh, ACP Azizman, yang mengambil masa kira-kira 30 minit.  Pada masa yang sama, peserta yang lain pula bergerak menuju ke Ipoh Parade, dan berkumpul di situ.  Dengan tangkas mereka bersurai sebelum ratusan polis sampai ke tempat mereka mengadakan perhimpunan.

Menurut Chang Lih Kang, polis telah berseddia untuk menangkap, tetapi ketangkasan mereka bersurai menggagalkan tugas polis.  Perhimpunan tersebut ditamatkan pada kira-kira 8.50 malam.

Pertubuhan Ikram Malaysia enggan dipengaruhi parti politik

Posted in Hebahan, IKRAM by Jim Titiwangsa on June 21, 2010

Sumber : Utusan Malaysia

 


Sebahagian ahli mendengar ucapan pada pelancaran Pertubuhan Ikram Malaysia di Seri Kembangan, Selangor, semalam.



 

KUALA LUMPUR 20 Jun – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang kini mempunyai keahlian seramai 3,500 orang sejak ditubuhkan lapan bulan lalu akan berusaha menegakkan syiar Islam tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

Presidennya, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad berkata, pihaknya turut akan menumpukan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang cara hidup Islam sebenar sekali gus memberi pemahaman yang tepat mengenai agama itu kepada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, walaupun negara sudah lebih 52 tahun merdeka, namun situasi hari ini masih tidak menepati sasaran hidup masyarakat Islam yang maju dan berjaya.

”Justeru, Ikram muncul pada tahap ini untuk memperluaskan dakwah, melebarkan pengaruh Islam, membangunkan ummah dan memacu pembaharuan serta perubahan masyarakat,” katanya selepas melancarkan Ikram di sini hari ini.

Seramai 5,000 orang terdiri daripada ahli IKRAM serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tempatan dan luar negara hadir pada majlis itu.

IKRAM merupakan NGO Islam yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2009 dan kini mempunyai 69 cawangan di semua negeri.

Menurut Mohd. Parid, Ikram ditubuhkan bagi memperluaskan dakwah memandangkan ramai ahli masyarakat terutama golongan remaja kini hanyut di dalam arus kemodenan dan hidup tanpa pegangan agama yang kukuh.

“Justeru, mereka perlu diajak kembali menghayati Islam dan seterusnya mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.

“Masyarakat yang cetek pengetahuan agama perlu dibantu dan dibimbing agar mereka menuju ke jalan yang benar,” katanya.

Hari bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia

Posted in IKRAM by Jim Titiwangsa on June 21, 2010
Pelancaran IKRAM KUALA LUMPUR – Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.

Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit adalah Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.

Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.

Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.

Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.

“Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.

Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, ‘Ukhuwah Teras Kegemilangan’.

IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.

Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.

“Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam,” ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.

Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul ‘IKRAM’ tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.

Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul ‘Bekalan di Perjalanan’ dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.

“Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan,” katanya.

Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

Pelancaran IKRAM
Jawatankuasa Pusat IKRAM 2010 – 2014.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.